Pembelajaran Koperatif

 

Kaedah Pembelajaran Koperatif

 

Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan

murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk

mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1982). Sasaran adalah tahap

pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga

untuk rakan-rakan yang lain.
Lima unsur asas dalam pembelajaran koperatif

adalah:

saling bergantung antara satu sama lain secara positif, saling berinteraksi

secara bersemuka, akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri,

kemahiran koperatif, dan

pemprosesan kumpulan.

Ganjaran diberi kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan kaedah ini.

Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan

memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Kemahiran sosial dan pemprosesan

kumpulan digalakkan.  Beberapa cara pembelajaran koperatif telah

diperkembangkan oleh tokoh-tokoh pendidikan, misalnya Jigsaw, TGT

(teams-games-tournaments), STAD (Students Teams- Achievement Division),

Belajar Bersama (Learning together), Permainan Panggil Nombor (Numbered

Heads), dan Meja Bulat (Round Table).

 

Pengajaran sebaya memainkan peranan yang sangat penting menurut cara Jigsaw.

Dalam cara ini, pembahagian tuigas diagihkan di kalangan murid dalam

kumpulan pelbagai kebolehan. Bahan pembelajaran dipecahkan kepada

topik-topik kecil. Setiap murid diagihkan tugas untuk  mempelajari satu

topik kecil. Setelah menguasai topik kecil sendiri, murid akan mengajar

rakan-rakan lain dalam kumpulannya sehingga semua ahli kumpulan menguasai

semua topik kecil itu. Selepas itu satu aktiviti dijalankan untuk menguji

sama semua ahli kumpulan berjaya memahami dan menyempurnakan tugasan yang

diberi. Jigsaw merupakan cara pengajaran berpusatkan murid. Kemungkinan

besar bahan baru dapat dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan membantu

penstrukturan semula idea.

 

Pembelajaran koperatif menggalakkan murid berinteraksi secara aktif dan

positif dalam kumpulan. Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan

idea sendiri dalam suasana yang tidak terancam, sesuai dengan falsafah

konstruktivisme.

This site is protected by Comment SPAM Wiper.